Thursday, July 15, 2010

Bahagia hanya bila taat !

Kebanyakan manusia, di dalam hidupnya, tertanya-tanya akan kebahagiaan. Apa sahaja keadaan hidupnya, seorang manusia akan menginginkan bahagia itu yang utama. Maka, bertebaranlah manusia mencari kebahagiaan di dalam harta, di dalam pasangannya, pada anak-anaknya, pada pekerjaannya, dan pada material-material yang dirasakan menyenangkannya.

Tetapi saya, tidak melihat kebahagiaan itu berpunca dari semua itu. Ya, saya akui bahawa semua itu ada unsur kebahagiaan. Tetapi itu semua bukan puncanya. Pekerjaan bisa sahaja menjadi punca stress, begitu juga harta, begitu juga isteri dan anak-anak.

Semua itu, hanya benar-benar menjadi salah satu juzu’ kebahagiaan, hanya apabila punca kepada kebahagiaan itu terbuka.

Dan saya lihat, punca pada kebahagiaan, hanyalah dengan taat kepada Pencipta Kebahagiaan.

Dosa menggelapkan jiwa

Taat lawannya ingkar. Keingkaran kepada Allah SWT, akan mengundang kemurkaannya. Sama ada sedar atau tidak, setiap kali kita berdosa, maka akan lekatlah satu bintik hitam di dalam jiwa. Semakin lama kita melazimi dosa, semakin gelaplah jiwa kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin apabila dia melakukan dosa, akan muncullah bintik hitam di dalam jiwanya. Apabila dia bertaubat dan menghentikan dosanya serta beristighfar, maka hilanglah bintik hitam itu. Sekiranya dia meneruskan perbuatan dosanya, maka bertambahlah bintik hitam itu pada hatinya, sehingga tertutup seluruh hatinya” Hadith riwayat Al-Baihaqi.

Apabila wujud bintik-bintik hitam ini, maka jiwa kita akan hilang kepekaannya, lemah sensitivitinya, dan akhirnya diri akan terjerumus dalam satu ruang yang sentiasa membuatnya tidak senang. Dia akan sukar menilai baik dan buruk di sekelilingnya. Dia juga akan terlupa sukatan bahagia yang ada di dalam kehidupannya.

Dengan bintik hitam inilah, dia punya rumah besar tapi rasa tak selamat. Dia punya harta banyak tapi rasa tak cukup-cukup. Dia ada isteri cantik tapi tak puas-puas. Dia ada anak-anak yang baik tapi tak senang-senang. Hatinya gelisah, dan sentiasa kacau.

Kerana jiwanya sudah gelap. Terputus hubungannya dengan Allah SWT Yang Menciptakan Bahagia. Akhirnya kita akan melihat, manusia sebegini akan terjerumus dalam kehidupan berhutang, ada pula yang terus menggatal dengan perempuan lain, punya sengketa dengan anak-anak, menghadapi stress yang tinggi, dan mungkin menjadi pendengki kepada kejayaan orang lain.

Walaupun di hadapan manusia dia tersenyum dan kelihatan megah bersama kehidupannya.

Jauh di dalam jiwa, dia sengsara.

Dan hanya Allah yang mengetahui keadaan dirinya.

Kebahagiaan yang sebenar

Kewujudan harta, isteri cantik, suami kacak, rumah besar, kereta mewah, pangkat tinggi, anak-anak ramai bukan merupakan kayu ukur kebahagiaan.

Kebahagiaan ini hanyalah apa yang membuatkan jiwa tenang. Itulah dia dengan mendekati Allah SWT, Pencipta Kepada Ketenangan.

“Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang” Ar-Ra’d ayat 28.

Mentaati-Nya mengisi jiwa, melakukan segala perintah-Nya membuatkan hati senang tak terkata. Walaupun wang yang sedikit, hidup tetap bahagia. Walaupun kerja pangkat tidak seberapa, tetap dilakukan dengan sungguh-sungguh dan ceria.

Kerana hati sudah cukup dengan Allah SWT. Dengan Allah, yang kita rasa tidak cukup hanya amalan kita, dedikasi kita kepada-Nya. Dengan dunia yang Dia berikan kepada kita, kita akan sentiasa rasa cukup. Tidak timbul hasad pada kemewahan orang lain. Tidak timbul cantas mencantas dalam merebut jawatan. Tidak terfikir hendak menggatal dengan pasangan orang. Tidak terfikir untuk mengecewakan anak-anak. Tidak terlintas untuk berhutang semata-mata hendak kelihatan mewah.

Tempat kebahagiaan adalah jiwa.

Bila jiwa bahagia, segala material yang wujud di sisi kita akan membuatkan kita bahagia.

Dan bagi mereka yang taat dan tunduk pada Allah SWT ini, Allah akan tambahkan lagi nikmat-nikmat untuk mereka. Hal ini kerana, mereka sentiasa bersyukur, dan mendekati Allah SWT.

“Dan ingatlah ketika Rabb kamu menyeru: Sekiraanya kamu bersyukur, akan Aku tambahkan untuk kamu(nikmat), dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih” Surah Ibrahim ayat 7.

Bahagia kita hari ini, bahagia palsu

Kita terdidik dengan satu kebahagiaan palsu, yang direka-reka oleh dunia. Kita lihat drama-drama dan filem kita, mendidik untuk kita mempunyai rumah besar, pasangan kacak dan cantik, pangkat tinggi-tinggi, dan harta melimpah ruah.

Itulah bahagia yang dididik di dalam kepala kita secara tidak sedar.

Maka lahirlah masyarakat yang serba-serbi tidak cukup.

Hal ini kerana, dunia adalah ibarat paip air yang rosak. Kalau kita membukanya terlalu besar, dan kita hendak lebih besar lagi, nanti pemutar paip itu akan tercabut, dan air akan keluar membuak-buak tanpa henti.

Dunia, apabila kita sudah letakkannya di dalam hati, maka dia akan menembusi hati kita ibarat akar pokok yang besar. Menguasai kita, dan mempergunakan kita.

Kita tidak tenang sebenarnya. Tetapi kita kata kita bahagia, sebab kita telah terdidik sedemikian oleh suasana kita.

Ini kebahagiaan yang palsu.

Tidak kekal.

Dan bergerak atas hawa nafsu.

Hidup kelihatan seperti mempunyai segala.

Tetapi sebenarnya kosong di dalam jiwa.

Dan kekosongan itu satu derita.

Penutup: Kebahagiaan yang sebenar, itu yang perlu dicari

Amatlah pelik, kalau kita inginkan kebahagiaan, tetapi kita tidak mendekati Pencipta Kebahagiaan. Sebagaimana peliknya kita hendak mengubat kelaparan dengan tidak mengisi sesuatu yang mengenyangkan.

Dengan pertukaran definisi bahagia ini, manusia akan terus tersasar jauh dalam kehidupan yang rosak. Malah, sampai satu tahap, ada yang menyangka, maksiat-maksiat itu pula yang memberikan kebahagiaan kepada mereka.

Hal ini kerana, sumber kebahagiaan yang sebenar, telah dikabui sekelabu-kelabunya oleh dunia.

Ada orang bertanya kepada saya: “Saya sudah bagun qiam, saya banyak baca Al-Quran, saya tak pernah tinggal solat, tetapi kenapa saya tak bahagia?”

Saya bertanya semula: “Apakah kamu berusaha meninggalkan maksiat?”

Dia menjawab: “Tidak”

“Nah, itu dia sebabnya kamu tidak bahagia”

Carilah kebahagiaan yang sebenar.

Kebahagiaan sebenar itu hanya muncul dengan ketaatan, kepada Pencipta Kebahagiaan.

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia , Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “ Surah Al-Fajr ayat 27-30.

No comments:

Post a Comment